Raya Bakal Lebih Bermakna Buat 4 Keluarga Miskin Kampung Wireless Miri





Terima sumbangan daripada sukarelawan #TeamAdenan

Oleh: Mohd Norhadie Sahari

MIRI: Persiapan Hari Raya Aidilfitri empat keluarga hidup serba kekurangan bertambah ceria apabila masing-masing menerima sumbangan daripada pasukan sukarelawan #TeamAdenan semalam.

Pengerusinya, Mohammed Azamri Ali berkata sumbangan berkenaan hasil kutipan derma ahli sukarelawan dan orang perseorangan bagi membantu meringankan beban kumpulan sasar.

“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban empat keluarga ini dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya di sini semalam.

Mohammed berkata sumbangan berupa makanan itu diserahkan kepada beberapa keluarga yang tinggal di Kampung Wireless Miri.

Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua sukarelawan terutama individu menderma membantu keluarga serba daif.

“Ia adalah program pertama kita bagi membantu golongan kurang berkemampuan, kita juga berterima kasih kepada sukarelawan #TeamAdenan yang turut bersama-sama melaksanakan misi kemanusiaan ini,” katanya.

Antara empat keluarga menerima bantuan berkenaan ialah keluarga Aminah, Hamidah, Haliah Latif dan Abdul Karim Sebeli.

Mohammed pada masa sama berharap akan lebih ramai sukarelawan atau orang perseorangan tampil membantu golongan kurang berkemampuan terutama pada bulan Ramadan.

“Harapan kita ialah agar program bantuan kemanusiaan ini menjadi contoh kepada pihak  lain bersama-sama menganjurkan program amal untuk membantu golongan kurang berkemampuan,” jelasnya.