Gelandangan harap bantuan kewangan selain makanan





GEORGETOWN – Beberapa orang gelandangan yang ditemui di sekitar bandar ini berharap mendapat sedikit sumbangan kewangan selain makanan sepanjang Ramadan ini.

Seorang gelandangan Ibrahim Awang Kecik, 65, berkata, terlalu banyak sumbangan makanan diterima daripada pelbagai pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) setiap hari hingga kadang kala ia terbazir kerana tidak sempat dijamah.

Ibrahim yang biasanya tidur di kaki lima berhampiran Masjid Kapitan Keling di sini berkata, dia bukannya tidak bersyukur dengan bantuan itu namun berharap pihak-pihak tertentu dapat memberikan bantuan kewangan pula.

“Setiap hari lebih daripada dua kumpulan datang untuk memberi makanan untuk bersahur dan berbuka dan saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.

“Tetapi jika ada sedikit bantuan kewangan untuk kami golongan gelandangan ini, adalah lebih baik, boleh beli sesuatu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi gelandangan, Siti Salimah Hasan, 44, berkata jika diberikan sedikit wang, dia dapat membelikan keperluan untuk dua anak lelakinya sempena hari raya tidak lama lagi.

“Bukannya kami tidak bersyukur dengan makanan yang diberikan, tetapi kalau dapat sedikit wang boleh sediakan sesuatu lebih baik untuk anak-anak saya,” katanya.

Sementara itu Penasihat Kumpulan Basikal Bukit Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pihaknya menyedari gelandangan juga memerlukan bantuan wang tunai terutama pada musim perayaan.

Katanya, selain menyediakan makanan sahur untuk gelandangan, pihaknya juga memberikan sedikit duit raya kepada mereka.

“Kami telah peruntukkan lebih daripada RM4,000 untuk satu program dan kami telah mengedarkannya kepada gelandangan sekitar Georgetown,” katanya. – Bernama