48 gelandangan diselamatkan di Georgetown





GEORGETOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang menyelamatkan 48 orang gelandangan termasuk tiga rakyat asing dalam ‘Ops Pengemis dan Kutu Rayau’ di sekitar pusat bandar ini awal hari ini.
 
Pengarah JKM negeri Said Sidup berkata lelaki warga asing berusia antara 20-an dan 30-an terdiri daripada rakyat Nigeria, Myanmar dan India itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
 
“Mereka dilihat merayau-rayau dengan keadaan tidak terurus dan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
 
Beliau berkata operasi tiga jam berakhir pukul 1.30 pagi itu turut melibatkan 100 anggota agensi lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara.
 
Katanya gelandangan terdiri daripada 42 lelaki dan enam wanita berusia antara 16 hingga 65 tahun itu menjadikan lokasi tumpuan pelancong seperti Jalan Penang, Jalan Masjid Kapitan Keling, Padang Kota Lama dan sekitar kawasan Jeti sebagai tempat tinggal.
 
“Tiga daripada mereka yang diselamatkan disahkan menghidap HIV manakala dua orang didapati kurang siuman,” katanya menambah sejumlah 55 operasi seumpama itu telah dilaksanakan JKM setakat ini.
 
Beliau berkata JKM giat mengumpul data orang gelandangan dan menyiasat rekod lampau golongan itu untuk membantu mereka mendapat pekerjaan atau ditempatkan di rumah perlindungan.
 
    Said berkata berkata gelandangan berulang yang melebihi amaran kedua akan dirujuk ke institusi di bawah seliaan JKM mengikut peruntukan Akta Orang Papa 1977.
 
Beliau berkata operasi akan diperhebat menjelang Ramadan ini berikutan kebanjiran gelandangan bermusim termasuk dari luar Pulau Pinang yang sanggup ‘berkampung’ di sekitar masjid untuk mengambil kesempatan daripada umat Islam yang mahu meningkatkan amal kebajikan.
 
Beliau menggesa masyarakat supaya memberi sumbangan mengikut saluran yang betul bagi mengelak diambil kesempatan oleh individu tertentu sekali gus membantu kerajaan membasmi kegiatan mengemis di negeri ini. – Bernama