Paparazzi’s Corner

Siti Tidak Sabar Lihat Kakak (Norsaida Tarudin) di AF6!

ORANG paling berbangga apabila Siti Norsaida Tarudin, 32, diumumkan layak menyertai rancangan realiti TV popular Akademi Fantasia musim keenam (AF6) adalah penyanyi wanita paling popular, Datin Seri Siti Nurhaliza.

Seperti diketahui umum Norsaida dan Siti adik-beradik, dan mereka agak rapat sejak kecil.

Ditemui di majlis mengumumkan pengacara dan artis yang mengadakan persembahan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07)di Palace of Golden Horses kelmarin, Siti berkata dia tidak sabar mahu melihat keletah kakaknya sekiranya berpeluang memasuki kediaman AF6.

“Saya tidak sabar hendak tengok reaksinya apabila bercampur dengan pelajar lain yang jauh lebih muda. Lagi satu saya mahu tengok bagaimana dia mengikuti kelas setiap hari.

“Macam mana agaknya dia hendak belajar dengan guru yang tegas sebabnya Saida ini cepat kalut dalam keadaan tertekan,” katanya membuka rahsia sikap kakaknya itu.

Kata Siti lagi, dari peringkat awal dia tahu kakak dan adiknya Saerah menyertai uji bakat yang diadakan penerbit rancangan AF6, Astro Ria.

Tambah Siti, sejak kecil dia dan Saida sering bersaing apabila ada pertandingan nyanyian di Kuala Lipis atau sekitar Pahang tempat kelahiran mereka.

“Sehingga berlaku insiden apabila menyanyi suaranya pecah. Kerana malu lama juga Saida tidak meneruskan minatnya itu. Begitupun, sesekali andai saya menerima tawaran mengadakan persembahan Saida akan menggantikan tempat saya. Kiranya kakak menjadi bidan terjun.

“Kerana lama tidak menyanyi saya sendiri terkejut apabila Saida terpilih. Begitupun, sebagai ibu kepada empat anak dia terpaksa membuat pengorbanan besar dengan meninggalkan mereka demi mengejar cita-cita.

“Mujur anak faham. Saya sendiri tolong tengok-tengokkan mereka seperti kelmarin keempat-empat anak Saida tinggal dengan saya. Sekarang ini musim cuti sekolah jadi senang sikit untuk saya membantu menguruskan mereka.

“Sepanjang saya bersama mereka, hendak tergelak pun ada, sayu di hati pun ada juga. Anak Saida yang tua, Siti Nurul Nisa Mohd Ghazali, 11, dan yang kedua, Anas berusia 9 tahun boleh berdikari.

“Cuma apa yang menyentuh hati saya apabila dua beradik lagi Khalid, 5, dan Siti Nurul Mashitah walau masih kecil mereka sudah faham dengan usaha dilakukan ibu mereka. Jika ditanya ibu di mana, mereka akan kata, ibu pergi menyanyi,” katanya lagi.

Siti tidak menafikan sebagai ahli keluarga yang rapat jika Saida layak masuk ke kediaman AF6, dia akan ‘turun padang’ menyaksikan konsert mingguan yang bakal berlangsung di Dewan Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ).

sumber: harian metro

Kindly E-mail Us Your Inquiries with Details + Estimated Budget to spmodels.entertainment@gmail.com For An Urgent Response! We Will Get Back To You ASAP!