6 Tips Cara Tanam Sayur Dalam Pasu





Berkebun dengan menggunakan bekas seperti botol plastik, polibeg atau pasu boleh menjadi satu perkara yang menyeronokkan. Ia amat sesuai bagi sesiapa yang tiada kawasan yang luas untuk menanam. Tidak kira kita tinggal di rumah teres mahupun aparment. Yang penting ada semangat untuk berkebun! Sesiapa pun boleh belajar cara tanam sayur dalam pasu.

Di sini terdapat 6 perkara yang harus kita ketahui apabila kita ingin berkebun menggunakan pasu atau pot.

1. Lokasi pasu

Perkara pertama yang perlu kita perlu ambil perhatian adalah dimana lokasi pasu kita ingin berkebun. Di mana tempat kita hendak meletakkan pasu dan bekas tanaman kita. Adalah lebih baik jika kita letak pada tempat yang ada cahaya matahari seperti di tepi tingkap dan di tepi bangunan.

2. Tanaman

Kita juga perlu tahu jenis tanaman apa yang hendak kita tanam di dalam bekas. Lain tanaman lain penjagaannya. Untuk pemula, saya cadangkan kita menanam kangkung dan bayam kerana kedua tanaman itu sangat senang tumbuh. Cuba tanam dahulu di dalam bekas dan lihat perkembangannya di lokasi yang telah kita pilih. Kemudian apabila sudah menuai tanaman tersebut, boleh cuba dengan tanaman lain. Mulakan sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Apa yang penting? – Pengalaman.

3. Pengairan

Ramai yang ingat tanam menggunakan bekas tidak perlukan sistem pengairan yang baik. Jangan keliru istilah pengairan dengan penyiraman. Pengairan bermaksud air sirama diserap oleh pokok manakala lebihan air disalurkan keluar dari bekas tanaman. Kebanyakan sayur dan pokok buah tidak tahan dengan air bertakung di dalam bekas. Akar tumbuhan akan lemas dan seterusnya boleh menyebabkan kematian pokok. Pastikan setiap bekas yang kita gunakan mempunyai lubang pengairan dibawahnya agar air siraman yang lebih boleh mengalir keluar dari pasu. Ingat! Kita tidak tanam pokok air tetapi kita tanam pokok darat.

4. Baja

Pembajaan amat penting kepada pokok yang tumbuh di dalam bekas. Jika di atas tanah, akar pokok boleh menjalar jauh mencari sendiri air dan nutrien tetapi tidak di dalam bekas. Oleh itu selalulah bekalkan kompos sebagai baja organik kepada tanaman kita di dalam bekas. Selang selikan dengan baja kimia jika kita lihat kesannya lambat.

5. Media tanaman

Media di sini dimaksudkan adalah jenis-jenis tanah yang boleh kita gunakan untuk bertanam. Ada yang guna tanah campur, tanah bakar ataupun kompos sebagai media dalam pasu kita. Untuk penanaman pasu, lebih elok kita guna media yang tidak berat seperti kompos. Campuran kompos dan tanah atas (top soil) sangat disarankan. Di samping kompos boleh menjadi baja, ia juga bertindak sebagai media yang bagus untuk penanaman pokok kita seperti tanaman sayur. Ringan adalah kunci utama untuk penanaman dalam pasu.

6. Penyiraman

Terdapat dua sistem siraman iaitu automatik dan manual. Biasanya kita lebih senang untuk menggunakan sistem siraman manual iaitu dengan terus menyiram dari paip air ataupun tong siraman. Terdapat beberapa inovasi yang boleh kita gunakan untuk menyiram secara automatik. Jika ada duit lebih, boleh kita upgrade menggunakan sistem titisan berasaskan sistem fertigasi. Tetapi jika ingin jimat kos, guna sahaja siraman automatik menggunakan bahan terbuang. Rujuk siraman automatik menggunakan botol plastik.

Dengan mengetahui 6 perkara asas ini, diharapkan pembaca semua dapat berkebun dengan bekas dengan lebih baik. Jika ada komen ataupun idea untuk ditambah, jangan lupa komen di bawah ya.

WhatsApp Kami Di +60 11-6077 9116 Atau Klik Di Sini Untuk Respon Yang Segera. Ruangan Komen Dibawah Hanyalah Sekadar Ruangan Perkongsian Ilmu. Terima Kasih!