Herba menjadi pilihan terbaik untuk ditanam dalam bekas. Ia sesuai untuk hidup di dalam rumah (indoor). Selain itu, tanaman herba tidak memerlukan cahaya matahari terik untuk hidup subur.
Memilih spesis herba
Sebelum anda mula menanam, anda perlulah memilih herba yang sesuai ditanam indoor. Antaranya adalah:
- Pegaga
- Daun saderi
- Pudina
- Kucai
- Rosemary
- Kesum
- Kemangi
- Tulasi
- Thyme
- Taragon
Jika anda masih baru lagi dalam menanam herba, lebih elok mulakan dengan 2 atau 3 spesis herba sahaja dahulu. Tambah apabila anda mula yakin dengan kemahiran berkebun anda.
Bekas dan media
Kemudian, anda juga perlu memilih jenis bekas untuk kebun herba anda. Bekas tersebut mestilah ringan untuk mudah dialihkan dan mempunyai lubang di bawahnya untuk pengairan. Ini penting kerana pokok herba secara umumnya tidak tahan dengan air bertakung atau genang air. Akar pokok herba akan lemas dengan air dan seterusnya boleh menyebabkan pokok herba mati.
Media tanah yang anda pilih mestilah kaya dengan bahan organik. Perlu ingat tanaman bekas berbeza dengan tanaman di batas timbun. Penggunaan kompos yang banyak paling sesuai untuk tanaman herba di dalam bekas.
Setelah memilih spesis herba yang ingin ditanam, bekas dan tanah yang sesuai, anda boleh menanam herba di dalam bekas sama seperti tanaman lain.
Kaedah tanam herba secara indoor
Apabila anda telah mula menanam herba di dalam bekas, anda perlulah menjaganya dengan baik. Menanam herba di dalam bekas dengan jayanya memerlukan empat komponen utama iaitu cahaya, suhu, air dan kelembapan.
Cahaya
Herba yang ditanam secara indoor memerlukan sekurang-kurangnya 6 jam cahaya matahari untuk hidup subur. Jika tidak mencukupi cahayanya, pokok herba akan menjadi kecil dan hilang rasanya. Letakkan bekas herba anda berdekatan tempat yang mudah mendapat cahaya seperti di tepi tingkap.
Jika anda rasakan tempat yang anda letak herba tidak cukup cahaya, beri cahaya tambahan dengan meletakkan mentol fluoresen dalam jarak tidak lebih 30 cm dari tanaman.
Anda perlulah memusingkan bekas herba apabila perlu bagi mengelakkan pokok herba tumbuh tidak seimbang nanti.
Suhu
Suhu di Malaysia sudah memadai untuk herba-herba yang dinyatakan di atas.
Siraman pada herba
Tanaman bekas memerlukan siraman secara kerap. Ini kerana akar pokok terhad untuk mendapatkan air hanya di dalam bekas. Siraman hendaklah kerap tetapi tidak terlalu banyak sehinggakan tanah terlalu lembab. Tips mudah, apabila anda mula lihat permukaan atas tanah mula kering, tandanya anda perlu menyiram – walaupun jika anda cucuk jari ke dalam tanah, lapisan dalam masih terasa lembab.
Tanda anda perlu berhenti menyiram air di dalam bekas adalah apabila air di bawah bekas mula mengalir keluar.
Anda juga boleh menambah baja larutan dalam air siraman untuk memberi nutrien tambahan kepada herba anda.
Kelembapan udara persekitaran
Herba indoor memerlukan kelembapan udara yang tinggi dan aliran udara yang baik. Untungnya, kelembapan udara di Malaysia adalah tinggi berbanding negara 4 musim. Apabila anda lihat kulapuk mula terbentuk di tanaman herba anda, anda mungkin boleh mempertimbangkan meletakkan kipas supaya udara sekitar herba anda mengalir dengan baik.