Khasiat Ikan Haruan





by: Utusan Online (Agrobiz)

IKAN haruan secara umumnya diketahui akan fungsi dan keberkesanannya dalam mengubati luka-luka dalaman terutama kepada wanita selepas bersalin. Sejak turun temurun lagi amalan perubatan menggunakan ikan haruan telah digunakan untuk membantu menyembuhkan luka selain meredakan penyakit berkaitan kulit seperti radang, gatal-gatal dam sebagainya.

Popularitinya meningkat tatkala hasil penyelidikan mendapati dagingnya mengandungi asid Arachidonis yang mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat di samping kaya protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan.

Ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus merupakan spesies air tawar karnivor yang dikategorikan sebagai antara haiwan popular di negara ini khususnya dalam bidang perubatan.

Seorang penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Manan Mat Jais yang tertarik dengan ?keajaiban? ikan haruan telah bertindak mengetuai sepasukan penyelidik dalam usaha menggunakan ekstrak ikan tersebut bagi tujuan saintifik dan perubatan.

Mengenengahkan konsep produk semula jadi, Abdul Manan bekerja keras m menghasilkan krim sapuan pelbagai fungsi menggunakan air (water based) sebagai asas intipati krim haruan tersebut.

Mencampurkan beberapa tumbuhan organik, rempah ratus serta pewarna dan bau berasaskan alam semula jadi ke dalam campuran krim, penyelidik itu berjaya menghasilkan formulasi haruan yang boleh digunakan untuk membantu mengubati penyakit kulit.

?Produk berbentuk krim sapuan pelbagai fungsi ini telah menjalani ujian saintifik dan hasil daripada itu, saya mendapati bahawa ia memberi tindak balas yang positif serta progresif dalam proses pemulihan penyakit serta kecederaan di kulit.

?Menerusi analisis protein serta kajian terhadap vitamin lain yang terdapat pada isi dan kulit ikan haruan, maka saya menemukan potensinya sebagai penyembuh penyakit kulit dan luka,” katanya ketika ditemui di UPM baru-baru ini.

Dalam usaha memastikan produk ini mendapat kepercayaan masyarakat, krim sapuan ini turut menjalani ujian klinikal bagi menjamin tahap keselamatan serta diperakui sesuai untuk kegunaan semua lapisan masyarakat.

Menyentuh tentang manfaat produk penemuannya itu, Abdul Manan menjelaskan, hampir semua penyakit kulit menunjukkan tanda penyembuhan lebih cepat apabila disapukan krim tersebut.

Antara penyakit kulit yang dikatakan termasuk kurap, kayap dan juga luka kecil serta bengkak.

Selain itu katanya, hasil kajian menunjukkan asid arachidonik yang terkandung dalam isi ikan haruan amat bermanfaat dalam membantu proses penyembuhan penyakit kulit.

Berdasarkan kajian itu, isi ikan haruan turut disahkan mengandungi kesemua asid amino dan asid lemak yang bermanfaat untuk proses perubatan dan penyembuhan penyakit kulit.

?Krim haruan ini dikhususkan kepada pesakit kulit ekzema, psoriasis dan ruam di kalangan kanak-kanak dan dewasa selain mereka yang menghidap penyakit arthritis dan sendi.

?Namun masih banyak kajian yang perlu dilakukan sebelum pengesahan dapat dibuat berhubung khasiat ikan haruan terhadap penyembuhan penyakit kulit.

?Di samping itu turut mengambil kira adalah pandangan masyarakat terhadap produk, sumber bekalan ikan haruan serta langkah mengimport bekalannya sebelum proses mengkomersialkan dilakukan,” tambahnya.

Ditanya mengenai pengkomersialan krim haruan itu, Abdul Manan memberitahu, setakat ini pihaknya hanya menjual kepada pesakit atau pengguna yang berminat sahaja.

© Utusan Melayu (M) Bhd

WhatsApp Kami Di +60 11-6077 9116 Atau Klik Di Sini Untuk Respon Yang Segera. Ruangan Komen Dibawah Hanyalah Sekadar Ruangan Perkongsian Ilmu. Terima Kasih!