Pendidikan Inklusif Bermula Sejak Awal: Masa Depan Malaysia Bermula Di Dalam Kelas
Malaysia sering dibanggakan sebagai negara berbilang kaum, namun sistem pendidikan kita masih mencerminkan pemisahan identiti sejak usia kecil — terutamanya melalui kewujudan pelbagai jenis sekolah seperti sekolah kebangsaan, vernakular Cina, Tamil dan swasta.
Sudah tiba masanya kita berani berfikir secara jujur: Perlukah sistem ini dikekalkan? Atau sudah sampai waktunya untuk satu sistem pendidikan nasional baharu yang benar-benar inklusif dan bersifat Malaysia?
Dulu Kita Bersatu, Kenapa Kini Semakin Terpisah?
Generasi ibu bapa dan datuk nenek kita — tanpa mengira bangsa — dahulu mampu bertutur fasih dalam Bahasa Melayu. Bahkan tidak kurang juga rakyat Malaysia yang fasih dalam Bahasa Cina, Tamil dan lain-lain, meskipun tidak pernah menjejak kaki ke sekolah vernakular.
Hubungan mereka akrab, ibarat adik-beradik. Mereka membesar, bermain, dan berjuang bersama. Tiada halangan untuk berkongsi rezeki, membantu jiran tetangga, dan berganding bahu walaupun berbeza agama dan keturunan. Manisnya kehidupan berbilang kaum di zaman datuk nenek kita dulu kerana begitu erat sekali walaupun berbeza agama.
Namun kini, jurangnya semakin besar. Ramai generasi muda — khususnya dari latar pendidikan vernakular atau sistem asing — tidak pernah benar-benar bergaul dengan rakan pelbagai bangsa. Jika mereka tidak diasuh dari kecil untuk hidup bersama, bagaimana kita boleh berharap mereka akan tiba-tiba mesra dan akrab setelah tamat persekolahan?
Kalau sejak kecil tidak pernah berkongsi makanan semeja, tidak pernah bermain dalam satu kumpulan, atau berganding bahu dalam projek bersama — apakah kita boleh harap mereka akan mudah makan semeja dan bekerjasama selepas tamat sekolah? Atau adakah generasi akan datang bakal tidak lagi bersama bahkan menjadi pesaing utama sesama sendiri?
Tolonglah, berhenti politikkan benda ini. Berpijaklah di bumi nyata. Kita kena usaha kekalkan semangat multi-racialism yang wujud sejak zaman datuk nenek kita dulu. Janganlah bila bercakap sedikit berkaitan bangsa dan agama terus dituduh rasis! Nak ke kita terus bergaduh berkaitan isu ini — hanya kerana memilih untuk menutup mulut dan berpura-pura tiada perasaan rasis di antara kita, bahkan di kalangan anak-anak kita sendiri?
Berhentilah bermain politik, sebaliknya jadikanlah perbezaan politik sebagai titik penyatuan. Gunakan kepelbagaian ini untuk memaksimakan bakat dan kehebatan negara kita. Tolong… jagalah aset paling penting dan berharga dalam negara ini — iaitu rakyatnya.
Cadangan: Satu Sistem Sekolah Nasional Baharu Yang Inklusif
Sudah cukup dengan sistem ‘pecah & perintah’ yang selama ini memecah-belahkan kita secara perlahan-lahan — warisan sistem kolonial yang masih kekal dalam bentuk baharu dan lebih halus. Ia tidak lagi sesuai dengan realiti Malaysia moden.
Kita perlukan reset menyeluruh, dan pendidikan mesti menjadi titik mula perubahan itu.
Bayangkan satu sistem baharu — semua anak Malaysia membesar dalam satu sekolah yang:
- Menggunakan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai asas pengantar.
- Mewajibkan Bahasa Ketiga: Mandarin, Tamil, Arab, Perancis, Jepun, Korea atau bahasa lain sebagai kelebihan global.
- Mengadakan Hari Bahasa Mandarin dan Tamil secara mingguan atau bulanan — agar pelajar bukan Cina dan bukan India juga boleh belajar dan memahami budaya secara semula jadi.
- Kelab bahasa dan budaya etnik lain — seperti Iban, Kadazan, Sikh, Orang Asli, dan sebagainya — diwujudkan dalam bentuk persatuan sekolah, agar warisan ini tidak pupus dan difahami bersama.
Subjek Agama Yang Terbuka Dan Membina
Bagi pelajar bukan Muslim, pendidikan agama juga perlu diperkasa dan ditambah baik. Mereka wajar diberi pilihan:
- Untuk belajar mendalami agama masing-masing — Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dll — dengan kurikulum yang berkualiti dan berakhlak.
- Pendidikan Moral hanya sesuai untuk pelajar berfahaman bebas (free-thinker) yang tidak beragama.
Semua agama mengajar nilai yang luhur. Jika kurikulum agama diperkenalkan dengan lebih terbuka dan membina, kita akan melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang, tetapi berakhlak dan saling menghormati.
Bahkan non-Muslim juga akan lebih mengenali dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara, bila mana pendekatan pendidikan agama diperkasakan secara harmoni, terbuka dan membina.
Malaysia – Kuasa Dunia Yang Belum Bangkit?
Hari ini, Malaysia sedang meningkat naik di mata dunia sebagai:
- Hab industri semikonduktor.
- Negara pelbagai kaum yang berjaya mengurus kepelbagaian.
- Destinasi pelaburan berpotensi tinggi di Asia Tenggara.
Bayangkan impaknya jika kita berjaya menyatukan sistem pendidikan rakyat kita sejak awal. Bukan sahaja perpaduan nasional yang kukuh, malah kekuatan ekonomi, kepercayaan pelabur, inovasi teknologi dan kekuasaan diplomatik juga akan melonjak secara semula jadi.
Jangan terkejut jika suatu hari nanti, negara kecil seperti Malaysia mampu menjadi salah satu kuasa besar dunia — bukan kerana saiz, tetapi kerana kebijaksanaan dan kesatuan rakyatnya.
Bahkan kita tidak boleh lupa bahawa Tanah Melayu pernah suatu ketika dahulu dikenali dan disegani di peringkat antarabangsa. Zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, kehebatan budaya, ilmu dan diplomasi kita pernah memukau dunia. Jangan terkejut jika menjelang akhir zaman nanti, Tanah Melayu ini sekali lagi diangkat sebagai antara kuasa besar dunia — walaupun kecil, tetapi berwibawa dan dipimpin oleh nilai dan integriti.
Penutup: Sekolah Baharu, Malaysia Baharu
Pendidikan inklusif bukan sekadar dasar, ia adalah satu impian nasional. Kita ada peluang hari ini untuk bina semula kepercayaan, keharmonian, dan masa depan yang lebih bersatu.
Harapan besar buat para pemimpin politik negara — agar tidak lagi menjadikan isu sekolah vernakular ini sebagai senjata politik masing-masing. Duduklah bersama, berbincanglah dengan terbuka dan jujur, satukan pemikiran yang berbeza dan carilah jalan untuk menggabungkan segala kebaikan dari setiap pandangan. Demi negara, demi generasi akan datang.
Jika kita tidak mulakan perubahan ini hari ini — siapa lagi, dan bila?
— Ditulis oleh: Hugo Qadri
Ahli Korporat & Pencinta Perpaduan Nasional
