4 Jenis Mandian Untuk Awet Muda Dan
Kekal Cantik Selepas Bersalin
1.Mandi bunga
Ramai yang menyangka mandi bunga hanya dilakukan oleh bakal pengantin pada hari ini untuk menaikkan seri pengantin. Hakikatnya, ia juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja pada pelbagai peringkat umur termasuk mandian untuk ibu-ibu selepas bersalin. Kaedah mandi bunga sekarang sudah diakui oleh pakar-pakar kecantikan dan juga sebagai rawatan alternative sebagai satu cara meningkat aura. Ia menggunakan 7 jenis bunga yang wangi dan berwarna warni seperti bunga mawar, melor, cempaka dan lain-lain akan digunakan untuk digunakan dalam mandian.
2.Mandian Dedaun
Mandi dedaun adalah mandian yang menggunakan air rebusan daripada pelbagai jenis dedaun yang biasa dilakukan untuk orang bersalin. Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada mandi menggunakan air biasa. Ini adalah kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Ada baiknya sepanjang tempoh berpantang atau sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan oleh ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi ketika berpantang. Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi (Vitex Negundo), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai (Lawsonia Terma), daun bonglai, daun mengkudu (Morinda citrifolia) Walaubagaimana pun, daun-daun tersebut sukar untuk dicari terutamannya di bandar-bandar.
3.Mandi Lulur
Ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi. Ketika itu mandian yang menjadi warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, beras pulut, beras pulut hitam dan sebagainya digunakan untuk melulur kulit.Sebelum wujudnya pelbagai rawatan moden, orang zaman dulu memilih teknik melulur menggunakan tumbuh-tumbuhan, pokok herba dan kekacang bagi memberikan impak pada kecantikan kulit. Ini kerana, melulur kulit menggunakan bahan semulajadi tanpa mengandungi bahan kimia dapat menyalurkan khasiat terbaik bahan-bahan yang digunakan terus ke dalam kulit. Rawatan, lulur atau sental dikatakan punya keunikan dan kelebihan tersendiri untuk tujuan pencerahan kulit. Meluntur menggunakan cara moden pula diperluaskan dengan campuran penggunaan bahan lain seperti alpha arbutin, asid kojic, beta-arbutin, pati beras, mulberi, niacinamide, vitamin C dan emblica yang didapati daripada buah-buahan seperti beri dan lemon. Sebelum ini bahan semulajadi seperti madu dan kunyit digunakan untuk mandi lulur. Sebelum mandi, seluruh tubuh akan dilulur. Bahan-bahan yang terkandung di dalam lulur akan bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan untuk membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal. Hasilnya ialah kulit yang halus, lembut dan bersih.
4.Mandi Susu
Sejarah mencatatkan permaisuri kerajaan Mesir purba, Cleopatra, bukan saja terkenal sebagai antara wanita paling cantik di dunia, beliau juga dicemburui kerana memiliki kulit lembut, berseri dan halus mulus. Berdasarkan dokumen lampau yang merekodkan kehidupannya, Cleopatra dilaporkan gemar mandi susu kerana mempercayai kebaikan bahan semulajadi itu pada kulit. Cleopatra bukan sembarangan wanita kerana walaupun memiliki kecantikan yang memukau, beliau juga pemerintah terakhir Mesir purba, mempamerkan kebijaksanaan biarpun dalam perkara harian termasuk pemilihan bahan penjagaan untuk kulit. Beliau dikatakan gemar berendam dalam mandian susu kambing yang ditabur dengan kelopak bunga mawar. Bunga mawar pula dikatakan mampu mengurangkan bau susu yang sedikit kuat.Walaupun pada zaman itu tiada bahasa saintifik dapat menggambarkan kebaikan susu pada kulit, sains moden mendapati ia mengandungi komponen yang mampu membersihkan kulit dan memberikan nutrien. Susu mengandungi dua jenis asid semula jadi iaitu laktik dan alfa hidroksi (AHA) yang kini banyak dicampurkan dalam bahan kecantikan kerana keberkesanannya memberi rawatan antipenuaan secara lembut.Kedua-dua asid terbabit membersihkan kulit dengan efektif tanpa merosakkannya dengan cara menyisih sel kulit mati daripada tubuh, seterusnya melembapkan kulit. Apabila disapu pada kulit, ia membantu untuk memulihkan kulit rosak akibat pencemaran persekitaran selain melembapkan kulit.