Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali (Bernama)
KUALA LUMPUR – Dalam impian Malaysia mencapai standard negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan menggariskan beberapa teras strategik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk memperkenalkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Antara lain, kerajaan yakin dengan potensi herba selaku pemacu kelestarian sektor Bio-Ekonomi negara malah herba dijadikan Projek Permulaan (EPP) pertama (EPP1) diwujudkan untuk NKEA pertanian negara. Pada awalnya, EPP1 tertumpu kepada pengkomersialan lima jenis herba dengan matlamat menghasilkan produk bernilai tinggi untuk mendapatkan sebanyak RM2.2 bilion Pendapatan Kasar Negara (PKN).
Lima herba tumpuan itu ialah Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi dan Dukung Anak. Terkini, enam lagi spesies herba disenaraikan untuk projek berkenaan iaitu Mengkudu, Roselle, Halia, Mas Cotek, Belalai Gajah dan Pegaga, menjadikan 11 jenis herba semuanya sebagai spesies keutamaan RMK-10. Pada awal tahun 2013, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Sri Douglas Unggah Embas menyarankan agar rakyat Malaysia membudayakan penggunaan herba sebagai sumber ubatan, makanan, penjagaan kesihatan dan kecantikan dalam kehidupan.
PERKEMBANGAN TERKINI DUNIA
Ketika merasmikan Bengkel Interaktif Herba di Simunjan Sarawak, beliau menekankan kepentingan membangunkan industri herba agar selari dengan perkembangan terkini dunia, yang mana nilai dagangan sektor herba dunia dijangka melonjak melebihi RM2 trilion menjelang 2020.
Nilai jangkaan itu adalah peningkatan tiga kali ganda berbanding RM777 bilion nilai dagangan sektor herba pada 2009. Di peringkat setempat, kementerian itu menjangkakan bahawa pasaran industri herba berpotensi untuk berkembang sebanyak 15 peratus setahun daripada RM7 bilion pada 2010 menjadi sekitar RM29 bilion menjelang 2020.
Beliau juga yakin bahawa penghasilan produk makanan kesihatan berasaskan herba mampu menjanjikan pulangan lumayan memandangkan ia kini merangkumi kira-kira 35 peratus daripada jumlah makanan dan minuman dalam pasaran negara. Dalam skop ekonomi negara yang lebih luas, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meyakini bahawa industri herba dapat menyumbang kira-kira RM2.2 bilion kepada PNK menjelang tahun 2020, sebagaimana yang disebut oleh bekas Menteri, Datuk Seri Noh Omar, pada satu seminar tahun lepas.
GERAN KAJIAN
Perkembangan positif industri itu juga dijangka dapat mewujudkan 1,800 peluang pekerjaan, 300 usahawan herba baharu dan meningkatkan pendapatan sekitar 1,500 petani negara. Justeru, beliau menyarankan agar petani mengusahakan tanaman herba secara ladang atau tanaman bercampur bagi mencapai matlamat NKEA pertanian negara.
Untuk tujuan itu, katanya, kerajaan juga menyediakan pelbagai peruntukan kepada petani dan usahawan herba. Ini termasuk sejumlah dana untuk geran kajian klinikal terhadap herba tumpuan dalam usaha mendapatkan kelulusan daripada Agensi Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA).
Sebagai contoh, sebuah syarikat tempatan menerima RM25 juta daripada kerajaan untuk menjalankan kajian terhadap Tongkat Ali.
Noh berharap agar bantuan dan geran kerajaan itu digunakan sepenuhnya bagi memastikan herba yang dihasilkan di negara ini mendapat pengikhtirafan USFDA untuk dipasarkan ke farmasi-farmasi antarabangsa.
Data menunjukkan permintaan produk herba telah meningkat berkali ganda, misalnya, penggunaan makanan herba untuk kesihatan mencecah sehingga RM2,380 bilion sekitar tahun 2001.
Sebelum itu, pada tahun 1996, nilai produk herba dunia mencecah RM950 bilion yang telah meningkat dengan ketara berbanding hanya RM2,093.8 juta pada 1980. Apapun sebenarnya, sokongan kerajaan terhadap usaha aplikasi perubatan herba telah diterjemahkan sejak tahun 1997 lagi melalui perasmian Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
PERANAN MARDI
Ini juga bermakna, keputusan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk memberi perhatian khas terhadap penyelidikan herba dan membangunkan potensi herba sebagai komoditi pertanian baru dikira tepat pada masanya. Dalam menjalankan tanggungjawab memajukan sektor pertanian negara, MARDI kini mengambil pendekatan memajukan tumbuhan herba yang dikira berpotensi menjadi komoditi pada masa hadapan. Sasaran mereka ialah bagi membolehkan usahawan tempatan mempelopori usaha penanaman ladang herba yang lebih luas sehingga ratusan atau ribuan hektar.
Lagipun, industri herba berpotensi menjadi penyelamat jika komoditi sedia ada seperti getah, kelapa sawit, nanas dan lada hitam mengalami persaingan hebat atau kejatuhan harga. Mengenai usaha mewujudkan ladang herba yang lebih luas untuk menjayakan program EPP1, kerajaan telah mengenalpasti beberapa kawasan untuk dibangunkan sebagai ladang herba berkelompok di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC).
Ini termasuk tanah berkeluasan 406 hektar di Durian Mentangau, Dungun, tanah seluas 327 hektar di Chegar Perah, Lipis serta sekeping lagi tanah di Rantau Manis Gua Musang yang seluas 323 hektar.
MEMBANDINGKAN POTENSI
Menyorot kira-kira 10 tahun ke belakang, perbincangan mengenai nilai komersial produk herba negara hanya mencecah setakat RM45 juta. Ini berdasarkan catatan nilai pasaran herba yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis. Dalam masa 10 tahun sahaja jumlah yang berani dibincangkan di Malaysia sudah mencecah angka RM2.2 bilion yang mana jelas menunjukkan industri itu sangat berpotensi untuk diperkembangkan di negara ini ekoran kepelbagaian spesies yang mudah didapati serta faktor iklim dan tanah yang sesuai untuk dikomersialkan.
Mengimbas risalah ‘Herba Warisan Alam’ yang diterbitkan oleh Rimba Herba, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNP), nilai eksport tumbuhan ubatan telah meningkat kepada RM45 juta pada 2002 berbanding RM17 juta pada 1990. Tumbuhan beraroma termasuk ramuan untuk pewangi minyak pati turut menunjukkan potensi ekonomi yang tinggi apabila dibandingkan untuk tempoh yang sama.
Nilai eksportnya telah meningkat sebanyak lapan kali ganda menjadi RM16 juta pada tahun 2002 berbanding 1990.
SUMBANGAN KETARA
Lantas, tidak hairanlah, FRIM sebagai sebuah agensi kerajaan telah membangunkan Bahagian Produk Semulajadi sejak tahun 1995 lagi bagi mencungkil potensi kepelbagaian biologi dan bahan kimia yang boleh didapati dari hutan negara ini. Bahagian itu berjaya memberi sumbangan ketara terhadap penyelidikan herba melalui pelbagai teknik bioassay serta teknik kromatografi dan spektroskopik terkini.
Fokus utama R&D FRIM yang lain termasuk etnobotani, amalan pengumpulan dan penuaian baik (GACP), teknologi selepas tuaian, pemprosesan herba dan sebagainya bagi membantu meningkatkan nilai tambah tumbuhan berkhasiat yang dikaji. Komitmen kerajaan melalui FRIM untuk merealisasikan potensi herba tidak terhenti di peringkat penyelidikan. FRIM turut memperkenalkan pelbagai teknologi pemprosesan baru yang kini dikembangkan di Pusat Teknologi Herba (Herbal Technology Center (HTC) milik mereka untuk memenuhi keperluan perkilangan dan industri.
Inisiatif melalui FRIM ini membuktikan kesungguhan Malaysia untuk memanfaatkan kecenderungan global kini terhadap ramuan semulajadi, menggandakan usaha pengkormesialan dan sekaligus memperkasakan industri herba Malaysia.
— BERNAMA