Penjagaan Rambut Untuk Kanak Kanak

image

Jangan abaikan penjagaan rambut bagi kanak kanak…

Walaupun mereka masih golongan kanak-kanak, tetapi jangan abaikan penjagaan rambut bagi memastikan si kecil memiliki rambut yang sihat dan bersinar. Tidak kira anak lelaki atau perempuan penjagaan rambut sama pentingnya.

Kanak-kanak terutama perempuan mula mengambil berat terhadap rambut mereka sebaik usia mencecah tiga tahun ke atas. Ketika itu mereka mula gemar menghabiskan masa yang lama di depan cermin untuk menyikat rambut.

Oleh itu, ketika usia tersebutlah anda boleh mula mengajar mereka cara penjagaan rambut yang betul. Penjagaan rambut terbahagi kepada beberapa aspek iaitu memotong, mencuci, menyikat, aksesori rambut dan potongan rambut.

Jika anda memiliki anak perempuan, sudah tentu anda gemar mendandan rambut mereka dengan pelbagai gaya dan memakaikan bermacam aksesori yang ada dijual di pasaran. Ada sesetengah anak boleh duduk diam dan tahan lama memakai aksesori tersebut. Tetapi ada yang tidak betah duduk untuk disikatkan rambut.

Itu belum lagi bab memotong rambut kerana kebiasaannya kanak-kanak amat takut untuk membiarkan rambut mereka disentuh oleh orang yang tidak dikenali. Bahkan ada yang menangis atau melarikan diri ketika melihat gunting.

Sekiranya anak anda jenis yang mudah dipujuk, mungkin tugas menggunting rambut boleh diserahkan kepada tukang gunting di kedai. Tetapi bagi yang agak ‘penakut’ dan cerewet, ada baiknya anda sendiri yang memotong rambutnya di rumah. Jangan biarkan rambut anak tidak dipotong dengan rapi kerana kadang kala ia boleh mengganggu pandangan matanya, menyebabkan kegatalan di bahagian leher dan lebih teruk takut dijangkiti kutu rambut.

Dalam soal mencuci rambut pula, anda perlu memberitahunya kepentingan untuk menyampu rambut menggunakan syampu khusus. Ini kerana ada sesetengah kanak-kanak tidak gemar rambutnya disyampu kerana takut ia memedihkan mata.

Pilih syampu khas untuk kanak-kanak yang tidak memedihkan mata dan ajar si kecil menggosok sendiri rambutnya dengan perlahan agar tidak melukakan kulit kepalanya. Pastikan juga anda menunjukkan ia cara membilas rambut sehingga bersih bagi mengelakkan sisa syampu boleh menyebabkan rambut berkelemumur.

Si kecil juga perlu diajar cara menyikat rambut dengan betul. Untuk mengelakkan rasa sakit ketika disikat, pegang rambut pada bahagian akar dan sikat ke arah bawah dengan perlahan. Asuhan ini amat penting dalam mendidik anak prihatin terhadap penjagaan kesihatan rambut mereka.