Herba dan Manfaat Penggunaannya Terhadap Manusia





Herba bukan sahaja boleh digunakan sebagai bahan penyedap dalam masakan, malah turut digunakan untuk tujuan perubatan terutamanya dalam kaedah perubatan tradisional. Kaedah perubatan tradisional menggunakan herba bukan sahaja terdapat dalam negara ini, tetapi amalan ini turut dipraktikkan di seluruh pelosok dunia mengikut budaya masing-masing.

Tiada cara untuk mengetahui dengan tepat bagaimana budaya terawal menggunakan herba, tetapi mereka telah mengambil masa selama beribu-ribu tahun bereksperimen dengan penggunaan herba. Kebudayaan dan peradaban awal mungkin mengenal pasti bahawa tumbuh-tumbuhan tertentu mempunyai kuasa penyembuhan, dan kemungkinan kekuatan penyembuhan ini disebabkan oleh sebab-sebab yang bersifat ghaib. Tapak pengebumian berusia 60,000 tahun di Iraq mengandungi bukti terdapat lapan tumbuhan ubat yang berbeza, yang mungkin bertujuan untuk dibawa bersama ke akhirat. Secara semula jadinya, ubat-ubatan herba kekal dalam amalan sihir dan kepercayaan tahyul selama beribu tahun dalam peradaban manusia.

Sejarah penggunaan tumbuhan dan herba untuk tujuan perubatan

Orang-orang Cina, India, Mesir, Babilon, dan penduduk asli Amerika kuno kesemuanya adalah ahli herba. Senarai herba ubat-ubatan yang paling lama yang diketahui adalah Shen Nung’s Pen Ts’ao atau Shennong Ben Cao Jing (sekitar 3000 sebelum Masihi), yang berkemungkinan merupakan susunan herba-herba Cina bagi tradisi ubat-ubatan Cina secara lisan yang lebih tua.

Menjelang tahun 3500 sebelum Masihi, orang Mesir Kuno mula kurang mengaitkan amalan sihir untuk rawatan penyakit, dan pada sekitar tahun 2700 sebelum Masihi, orang-orang Cina mula menggunakan herba dengan tujuan yang lebih saintifik. Pakar perubatan Yunani, Hippocrates (460 – 377 SM), pengasas Hippocratic Oath telah membangunkan sistem diagnosis dan prognosis dengan menggunakan herba. Beliau menganggap penyakit adalah fenomena semula jadi, bukan disebabkan oleh faktor-faktor ghaib, dan percaya bahawa ubat perlu diberikan tanpa penglibatan amalan sihir. Pada tahun 77 selepas Masihi., Pliny the Elder telah menulis sebanyak 37 jilid buku yang berkaitan dengan sejarah alam semula jadi dan menumpukan tujuh jilid daripadanya kepada penggunaan tumbuhan untuk tujuan perubatan. Walau bagaimanapun, Pliny hanya mengesahkan sedikit kesahihan daripada apa yang ditulis olehnya dan sebahagian besar karyanya dipersoalkan pada hari ini.

Orang Yunani Rom purba juga terkenal dengan penggunaan herba mereka. Pakar bedah yang mengembara bersama-sama dengan tentera Rom menyebarkan kepakaran herba mereka di seluruh empayar Rom, di Sepanyol, Jerman, Perancis, dan England. Dioscorides dan Galen, kedua-duanya merupakan pakar bedah Yunani dalam tentera Rom, telah menyusun senarai herba yang kekal sebagai teks perubatan yang dipersetujui untuk selama 1500 tahun.

Herba semasa Zaman Pertengahan

Semasa Zaman Pertengahan, ahli-ahli herba berada di biara-biara Britain dan tanah besar Eropah. Sebelum penubuhan universiti pada abad kesebelas dan kedua belas, biara-biara telah berfungsi sebagai sekolah perubatan pada ketika itu. Biarawan menyalin dan menterjemahkan banyak karya-karya Hippocrates, Dioscorides, dan Galen. Kebun perubatan mereka dipenuhi dengan herba ubat-ubatan yang paling biasa dan bermanfaat, yang turut menjadi lokasi latihan asas untuk generasi biarawan-doktor dan orang-orang awam yang seterusnya.

Selepas penaklukan Islam di Afrika Utara pada abad ketujuh dan kelapan, sarjana Arab memperoleh banyak teks-teks perubatan Yunani dan Rom. Ibn Sina, seorang doktor yang berasal dari Parsi, yang juga dikenali sebagai Avicenna (980-1037 selepas Masihi), menggabungkan tradisi herba Dioscorides dan Galen dengan amalan kuno orang-orang Parsi sendiri dalam buku The Canon of Medicine (al-Qanun fi at-tibb). Salah satu teks perubatan paling berpengaruh yang pernah ditulis ini kemudiannya tersebar ke seluruh Eropah pada abad kesebelas dan kedua belas.

Dengan penciptaan media percetakan pada abad pertengahan kelima belas, herba Dioscorides, Galen, dan Avicenna dihasilkan secara besar-besaran dan dapat diakses oleh orang-orang di luar istana, biara, dan universiti. Penggunaan herba tidak memerlukan kemahiran khusus: pembaca hanya mengumpulkan herba dan menggunakannya mengikut cara dan dos yang ditetapkan.

Setiap ahli perubatan/ tukang kebun yang menyusun herba-herba baharu, berusaha untuk merevolusikan atau sekurang-kurangnya menyeragamkan penggunaan tumbuhan ubatan. Salah satu penulisnya ialah Theophrastus Bombastus von Hohenheim, yang lebih dikenali sebagai Paracelsus (1493-1541). Beliau menegaskan kepentingan pengalaman dengan pesakit dan menentang kepercayaan membabi buta oleh ahli perubatan kuno.

“Doctrine of signatures”, astrologi dan perubatan moden

Walaupun dia tidak mempercayai ahli herba tradisional, Paracelsus menghidupkan semula “doctrine of signatures” abad pertama. Menurut “doctrine of signatures”, setiap herba mempunyai “tanda” tersendiri. Penampilan tumbuhan, warnanya, aromanya, atau persekitarannya menunjukkan penggunaan perubatannya. Sebagai contoh, herba yang digunakan untuk mengubati penyakit kuning termasuklah marigold dan dandelion dan tumbuhan lain yang mempunyai bunga yang berwarna kuning. Manakala bagi bunga pansies, ia digunakan untuk masalah jantung disebabkan oleh kelopaknya yang berbentuk seperti bentuk hati.

Setahun kemudian, Nicholas Culpeper (1616-1654) menghidupkan semula satu lagi aspek herba semula jadi: astrologi. Ahli herba astrologi menghubungkan herba kepada tanda-tanda zodiak yang berlainan. Mereka merawat penyakit tertentu dengan menentukan apakah tanda dan planet yang berkaitan bahagian tubuh badan yang memerlukan rawatan. Mereka kemudiannya menetapkan ramuan yang bersesuaian dengan tanda astrologi yang sama.

Individu seperti Francis Bacon (1561-1626) dan William Harvey (1578-1657) pula telah mengubah sains daripada spekulatif kepada proses eksperimen. Penekanan baharu ini tidak bercampur dengan baik dengan kebangkitan “doctrine of signatures” dan astrologi: Oleh itu, sains biologi dan perubatan mula berpisah daripada herbalisme tradisional. Ahli herba yang memberi tumpuan kepada klasifikasi dan enggan mengakui “doctrine of signatures” dan astrologi telah membentuk sains botani. Pakar-pakar perubatan menemui bahawa ilmu peredaran darah oleh Harvey lebih berguna daripada pergerakan planet-planet oleh Culpeper telah memulakan satu bidang ilmu baharu iaitu perubatan saintifik.

Herba yang mengandungi nilai perubatan

Berpandukan maklumat daripada Jabatan Perhutanan Malaysia, terdapat beberapa jenis tumbuhan atau herba sama ada dari hutan atau di sekeliling penempatan manusia yang mempunyai nilai pengubatan. Berikut merupakan 5 jenis herba yang dipercayai mempunyai nilai pengubatan:

Akar Saga

Dikenali juga dengan nama seperti Rosary Pea, Jequerity, Crab’s Eye, Precatory Bean, Gunja dan Ratti. Ia adalah jenis tumbuhan memanjat yang mengelilingi pokok dan pohon renek. Ia adalah sejenis legum dengan daun yang panjang. Ia juga dikenali sebagai Gunja dalam bahasa Sanskrit dan beberapa bahasa India dan Ratti dalam bahasa Hindi. Tumbuhan ini terkenal dengan bijinya, yang digunakan sebagai manik dan juga bersifat toksik disebabkan oleh kandungan abrin. Tumbuhan ini berasal dari Indonesia dan tumbuh di kawasan tropika dan subtropika di mana ia telah diperkenalkan. Ia mempunyai kecenderungan untuk menjadi tumbuhan rumpai dan invasif di tempat di mana ia telah diperkenalkan. Pod benih berbentuk keriting ketika terbuka dan akan mendedahkan biji di dalamnya. Biji yang dihasilkan berbentuk rata dengan kepanjangan sebanyak 1.5 hingga 2 cm selain mempunyai warna merah jambu yang menarik. Bijinya sangat beracun. Bahagian pohon ini yang digunakan adalah biji, daun dan akarnya. Bijinya bersifat afrodisiak, antimikrob, diuretik, expectorant, julap, purgatif, penyejuk dan sedatif. Akarnya digunakan untuk rawatan gonorea dan penyakit kuning. Minyak yang diekstrak dari bijinya dikatakan menggalakkan pertumbuhan rambut manusia. Benih ini digunakan sebagai kontraseptif, untuk merawat kencing manis dan nefritis yang kronik.

Jerangau

Nama lain bagi Jerangau ialah Sweet flag dan Calamus root. Jerangau mempunyai sejarah penggunaan sebagai ubatan yang sangat panjang dan digunakan secara meluas dalam ubat herba moden sebagai perangsang aromatik dan tonik ringan. Ia telah digunakan di Asia selama sekurang-kurangnya 2 milenia terakhir oleh kaum Cina dan India. Di Malaysia, ia ditanam di taman-taman belakang rumah orang Melayu dan India, di mana ia digunakan secara luaran sebagai losen. Akar jerangau boleh tumbuh dengan ketinggian sehingga 1.0 meter. Ia terdiri daripada daun yang panjang, ramping, dan kelihatan seperti rumput yang tumbuh terus dari rizom. Susunan daun berbentuk sama dan berwarna hijau dengan bilah daun yang linear. Daunnya bersifat aromatik manakala rizomnya sangat harum, mengandungi minyak aromatik dengan sebatian yang tidak menentu. Jerangau dilaporkan digunakan sebagai antibakteria, antisawan, antiseptik dan emetik. Rizomnya digunakan sebagai ubat untuk kembung perut, kolik, dispepsia dan demam sekejap-sekejap, reumatik, penyakit saraf, masalah usus, disentri pada kanak-kanak, jangkitan bronkial dan asma.

Kapas Hantu

Nama lainnya adalah Devil’s Cotton. Ianya adalah pohon yang berasal dari Asia hinggalah ke Australia. Pokok ini biasa didapati di kebanyakan bahagian India. Ia juga boleh ditemui di Pakistan dan banyak negara Asia lain. Ia akan mencapai ketinggian setinggi 2.5 meter. Daunnya akan mencapai kepanjangan 20 cm dan daun serta batangnya dilitupi dengan bulu-bulu lembut yang sangat menjengkelkan untuk disentuh. Kulit pokok ini menghasilkan serat seperti tali jut. Dalam ayurveda, jus daunnya yang segar sangat berguna dalam penyakit uterus perempuan dan haid. Ia mengawal pengeluaran haid dan bertindak sebagai tonik uterus. Kulit akarnya yang segar dan dikeringkan juga digunakan sebagai tonik uterus dan mengawal pengeluaran haid. Jus segar yang diperoleh daripada kulit akarnya sangat berguna dalam masalah seperti dysmenorrhoea, amenorrhoea, masalah kencing dan bronkitis. Daunnya digunakan dalam masalah diabetes, sakit reumatik dan sinusitis. Di Bali, Indonesia, ia digunakan sebagai tampalan untuk penyakit kudis buta atau scabies.

Tutup Bumi

Oleh sebab bentuk daunnya yang rata di atas tanah dan meliputi lebih daripada bahagian ruangnya; orang Melayu menyamakannya dengan corak cop Nabi Sulaiman yang memerangkap jin di bawah tanah. Secara tradisinya ia dianggap berkesan untuk merawat semua penyakit. Sehingga kini, tanaman ini belum dibiakkan di Malaysia tetapi dikumpulkan dari hutan liar oleh pengamal perubatan tradisional untuk disediakan sebagai ubat herba. Tumbuhan ini boleh ditemui tumbuh dengan meliar di tepi-tepi jalan, padang berumput dan sempadan hutan. Herba ini boleh dibiakkan dengan mudah melalui biji benih. Benih dikumpulkan dengan melampirkan bunga dengan sekeping kertas. Benihnya bersaiz kecil dan sangat ringan dan kejayaan untuk mencambahkan tumbuhan ini adalah sekitar 70-80%. Herba ini digunakan sebagai diuretik, ubat demam dan untuk melegakan anuria dan blennorrhagia. Selain itu, ia turut digunakan sebagai antibiotik, ejen antibengkak, antikeradangan dan pelembut kulit. Ia dipercayai sebagai ubat yang baik untuk leucorrhea, anemia dan bermanfaat semasa kelahiran bayi. Air rebusan yang dibuat daripada daun atau akarnya digunakan sebagai tonik untuk merawat kecacingan, merawat batuk dan penyakit kelamin. Air rebusan yang dibuat daripada akar segar dan daun sireh dikatakan berfungsi untuk menahan muntah-muntah manakala daunnya disyorkan untuk merawat dropsy.

Hempedu Bumi

Herba ini berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Oleh sebab kapasiti pembiakannya yang pantas, ia dianggap sebagai tumbuhan rumpai di banyak kawasan. Tumbuhan ini telah digunakan selama berabad-abad dalam beberapa penawar di negara-negara seperti China, India dan Jawa. Walau bagaimanapun, baru-baru ini potensi sebenarnya ditemui dan sejak itu telah menarik perhatian pasaran herba dan farmaseutikal. Ia kini dianggap sebagai herba baharu yang menjanjikan untuk banyak penyakit dan sedang diuji untuk rawatan pelbagai penyakit termasuk HIV, AIDs dan pelbagai gejala yang berkaitan dengan gangguan autoimun. Hempedu bumi lazimnya ditanam di kawasan pedalaman dan padang rumput. Di Malaysia, hempedu bumi biasanya ditanam di laman belakang atau di dalam pasu untuk tujuan perubatan. Herba ini diberikan sebagai ubat tahan sakit, julap, melegakan batuk, pencernaan, sakit perut dan juga digunakan untuk mengubati diabetes, demam, jangkitan cacing, bronkitis yang kronik, kusta, kembung perut, kolik, disentri, dan penyakit kulit (contohnya luka terbakar, luka, ulser). Ia juga merupakan ubat yang baik untuk merawat kesakitan akibat patukan ular dan masalah wanita.

WhatsApp Kami Di +60 11-5771 7870 Atau Klik Di Sini Untuk Respon Yang Segera. Ruangan Komen Dibawah Hanyalah Sekadar Ruangan Perkongsian Ilmu. Terima Kasih!