‘Boleh nyanyi tapi Kak Ida pemalu sikit’ – ct

Browse By

NAMPAKNYA satu demi satu anak Pakcik Tarudin Ismail menceburkan diri dalam bidang seni. Bermula dengan Saiful Bahari atau Ayie, diikuti Datuk Siti Nurhaliza kemudian dituruti jejaknya oleh Siti Nursaerah, kini giliran Siti Nursaida pula mencuba nasib menjadi penyanyi.

Percubaan kakak kepada penyanyi tersohor itu menyertai sesi uji bakat AF6 Januari lalu nyata tidak sia-sia apabila dia tersenarai sebagai 25 calon awal yang bakal menyertai akademi larangan itu.

Biarpun ramai yang terkejut kerana tidak pernah melihat kelibat Siti Nursaida atau Saida menyanyi di mana-mana acara sebelum ini, namun bagi Siti, berita itu bukanlah sesuatu yang asing baginya. Jelas Siti, apabila mendapat tahu yang Saida berjaya melayakkan diri sebagai calon finalis, dia adalah antara insan yang cukup gembira mendengar perkhabaran itu.

“Mungkin ramai yang tak tahu Kak Ida ini sebenarnya memang boleh menyanyi cuma dia pemalu sedikit. Tapi Siti tahu dia boleh buat. Apabila dia beritahu terpilih sebagai calon pelajar AF6, Siti awal-awal lagi ucap tahniah kepadanya,” ujar Siti ketika ditemui pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, kelmarin.

Menceritakan kembali bagaimana kakaknya boleh terjebak dengan program realiti popular itu, Siti berkata, penyertaan kakaknya itu berlaku secara kebetulan dan tidak terancang.

“Tujuan dia sebenarnya adalah untuk menemani Saerah yang hendak menyertai uji bakat. Tapi apabila mendapati angka giliran Saerah agak lewat dan mungkin membawa ke malam, hendak tak hendak dia pun mencuba sekali. Iyalah, takkan hendak tunggu seorang diri di luar. Tak sangka pula dia yang terpilih dan bukannya Saerah.

“Apa pun, Siti mengharapkan agar dia berjaya melepasi ujian penilaian sekali gus menjadi calon pelajar AF6. Siti tetap akan memberikan sokongan moral buatnya,” ujar si pelantun Ku Mahu ini sambil tertawa.

Biarpun mungkin ada yang beranggapan kejayaan Saida itu sebenarnya adalah kerana dia kakak kepada penyanyi terkenal tanah air, Siti menafikan perkara itu.

“Saya tak rasa itu adalah alasannya. Saya tahu dia juga berbakat besar dalam bidang nyanyian. Malah, sewaktu di sekolah dulu dia yang terlebih dulu menyertai pertandingan nyanyian kemudian barulah saya menyusul.

“Malah, dia juga sering menyumbangkan suaranya untuk acara-acara besar di kampung seperti persembahan Hari Kemerdekaan dan sebagainya. Dan dia jugalah yang akan menggantikan tempat Siti untuk menyanyi sekiranya Siti tidak dapat memenuhi sesuatu undangan itu,” imbas Siti lagi.

Sementara Saida dikurung bagi menjalani sesi orientasi seperti yang ditetapkan Astro, Siti menjalankan tanggungjawab menjadi ibu kepada empat anak saudaranya itu.

“Sekarang ni kan cuti sekolah. Jadi Siti ambillah anak Kak Ida yang empat orang itu untuk tinggal dengan Siti. Mereka tak kisah sebab sudah biasa. Dan mereka juga tahu emak mereka di mana.

“Contohnya, kalau kita tanya mak mereka pergi mana, dia orang akan jawab, Mak kita pergi menyanyi,” cerita Siti dengan hilai tawa.

Ditanya apakah kakaknya itu sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cerita negatif apabila memilih untuk menyertai AF, Siti berkata, pengalaman yang dilaluinya barangkali menjadi pedoman buat Saida mengharungi bidang ini.

“Pengalaman Siti sepanjang bergelar artis barangkali mungkin boleh membantunya berdepan dengan situasi itu. Walaupun tidak mengalaminya sendiri tapi daripada apa yang dilihat, didengar, saya yakin dia boleh mengatasinya. Lagi pun suaminya memberi sokongan terhadap keputusannya itu,” kata Siti sambil membetulkan tudungnya.

Diusik pertanyaan apakah dia akan menubuhkan kelab peminat untuk kakaknya, sambil tersenyum Siti berkata, dia difahamkan kelab peminat itu sudah pun ditubuhkan tetapi atas usaha orang lain.

Mengenai pendiriannya jika dia diberi peluang menjadi pengkritik undangan, Siti berkata, dia tetap profesional dalam menjalankan tugas.

“Nak buat macam mana lagi, kritik ajelah,” ujarnya sambil disambut dengan gelak ketawa media di sekeliling.

sumber: berita harian

Kindly E-mail Us Your Inquiries with Details + Estimated Budget to spmodels.entertainment@gmail.com For An Urgent Response! We Will Get Back To You ASAP!